Awang Mohammad Ariffin calon Ketua Kampung Labi I





Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Belait






BELAIT, Ahad, 16 November. – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Labi I, Mukim Labi diadakan hari ini, bertempat di Bangunan Jabatan-jabatan Kerajaan Mukim Labi, di sini.


Pengundian menggunakan kaedah kertas undi (ballot papers). Manakala, pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada Jumaat, 14 November 2025 pada jam 8.00 pagi.


Hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.


Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, juga Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait; dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, juga Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait.


Juga hadir, wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Pemangku Ketua Kampung Labi I.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Pemangku Imam Masjid Labi, Awang Abdul Qadir bin Osman.


Calon tunggal yang layak bagi jawatan Ketua Kampung Labi I, Mukim Labi ialah Awang Mohammad Ariffin bin Haji Abdul Rahman, berusia 50 tahun.


Beliau berkelulusan Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'O' dan pada masa ini bertugas sebagai Ahli Bomba Kanan di Jabatan Bomba dan Penyelamat. Di samping itu, beliau juga aktif dalam aktiviti keugamaan dan pada masa ini adalah Penolong Setiausaha Takmir Masjid Mukim Labi.


Seramai 78 penduduk kampung yang berdaftar dan layak mengundi telah mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan Ketua Kampung Labi I, Mukim Labi.


Seramai 17 orang, iaitu 22 peratus telah mengundi menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK, manakala 61 orang, iaitu 78 peratus pula menggunakan kertas undi.


Daripada jumlah yang telah mengundi berkenaan, seramai 71 orang bersetuju, manakala lima orang tidak bersetuju, sementara dua undi rosak.


Keputusan pengundian yang diperoleh akan dibawa dan digunakan dalam menyediakan sokongan dan seterusnya dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses yang selanjutnya.


Close